Hujan lebat secara berterusan



KUALA LIPIS - Hujan lebat berterusan bermula dari malam kelmarin hingga awal pagi semalam mengakibatkan beberapa kawasan di sekitar bandar Lipis ditimpa bencana tanah runtuh dan pokok tumbang. 

Tinjauan Sinar Harian ke beberapa tempat yang dilanda hujan lebat semalam mendapati batang pokok dan tiang telefon Telekom Malaysia (TM) merentangi jalan menyebabkan penduduk tidak dapat melalui laluan terbabit. 



Berpuluh-puluh pekerja terkandas 



Di Jalan Bukit Residen, berpuluh-puluh kakitangan Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), pekerja Rumah Rehat Bukit Residen dan pengunjung Bukit Residen tidak dapat melalui laluan tersebut berikutan beberapa batang pokok tumbang serta menutup jalan terbabit. 

Pekerja dan pengunjung terbabit terpaksa menunggu beberapa jam sehingga kerja pembersihan laluan yang giat dijalankan oleh kakitangan Majlis Daerah Lipis (MDL) selesai. 

Selain itu, berlaku runtuhan tanah berdekatan dengan pejabat Risda dan pengguna yang melalui kawasan terbabit diminta berhati-hati bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku. 

Di laluan yang sama, tempat duduk dan pagar sekitar Tasik Residen runtuh serta turut mengalami kerosakan teruk akibat kejadian terbabit. 

Hasil tinjauan mendapati, rekahan teruk berlaku pada tempat duduk yang dibina daripada simen terbabit dan lebih memburukkan keadaan apabila batang pokok turut menimpa kawasan terbabit. 



Penduduk berhadapan dengan bahaya 



Sementara itu, beberapa buah rumah di kawasan perumahan Bukit Kerani yang dibina berhadapan pam minyak Esso turut berisiko apabila tanah runtuh dan pokok tumbang berlaku berhampiran rumah mereka. 

Tanah runtuh itu berlaku di sekitar Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) lama yang kini didiami oleh beberapa keluarga dan hakisan tanah berlaku beberapa meter sahaja dari kediaman penduduk. 

Selain itu, di kawasan yang sama beberapa keluarga turut terkandas dan tidak dapat keluar dari kediaman mereka apabila pokok dan tiang telefon TM tumbang dan merentangi jalan. 

Beberapa kawasan lain seperti Jalan Pekeliling berhadapan dengan Kem Batalion Kelapan Rejimen Askar Melayu Diraja (8 RAMD), Jalan Datuk Mahmud berhampiran simpang masuk ke Taman Desa Perwira, jalan pintas ke Institut Pertanian (IP) dan kawasan Flat Sungai Kerpan 2 turut terjejas akibat kejadian tanah runtuh serta pokok tumbang. 



Rumah dimasuki air 



Di TempoYANG :pula beberapa rumah turut dimasuki air mengakibatkan penduduk di kawasan terbabit terpaksa berpindah ke kawasan yang lebih tinggi. 

Salah seorang penduduk, Halimah Bidin, 63, berkata, dia menyedari kejadian terbabit berlaku apabila dikejutkan oleh jiran berhampiran sekitar jam 3.45 pagi. 

“Setelah sedar dari tidur, saya bersama suami, Abdul Aziz Ismail,70, meninjau keadaan rumah dan mendapati air sudah memasuki kawasan dapur rumah kami. 

“Kami bertindak pantas mengalihkan barangan elektrik dan dokumen penting ke tempat yang lebih tinggi. Setelah itu, kami bertindak meredah air banjir untuk ke rumah sebelah yang dibina lebih tinggi sekali gus mengelakkan kejadian buruk berlaku,” katanya kepada Sinar Harian. 

Halimah berkata, kawasan rumahnya dibina berhampiran dengan Sungai Tempoyang ditambah dengan keadaan hujan lebat secara berterusan selama beberapa jam menyebabkan aras air meningkat dengan lebih cepat. 

Selain itu, Markas Pas Tempoyang turut terjejas dengan banjir dan sebahagian daripada peralatan di dalam markas terbabit mengalami kerosakan serta kotoran akibat terkena lumpur. 

Setiausaha Pas Kawasan Lipis, Muttalohiri Ludin berkata, banjir kali ini adalah kejadian kelima melanda markas terbabit sepanjang 2011 dan paling teruk dialami oleh mereka. 

“Kejadian ini disedari oleh salah seorang ahli Pas, Hasbullah Ludin yang datang ke markas ini sekitar jam 7 pagi dan mendapati limpahan air dari sungai berdekatan memasuki markas ini. 

“Hasbullah kemudiannya bertindak memanggil ahli Pas lain yang tinggal sekitar kawasan ini bagi melakukan kerja gotong royong bagi membersihkan lumpur yang masuk ke dalam markas,” katanya. 



Usaha baik pulih jangka masa pendek, panjang 



Sementara itu, Setiausaha MDL, Mohd Pauzi Abu Hussaini berkata, pihaknya bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), TNB dan pekerja kontrak bagi pembinaan Hospital Lipis bekerjasama bagi menjalankan kerja pembersihan. 

Menurutnya, bagi tindakan jangka masa pendek, pihaknya melakukan kerja pembersihan di kawasan yang mengalami masalah pokok tumbang selain turut meletakkan plastik di kawasan tanah runtuh. 

“Setelah menerima aduan daripada orang ramai, pihak kami bertindak pantas mengalihkan pokok tumbang di kawasan yang dikenal pasti menggunakan jentolak. 

“Kami juga meletakkan plastik pada permukaan tanah runtuh bagi mengelakkan keadaan bertambah teruk,” katanya. 

Mohd Pauzi berkata, bagi tempoh jangka masa panjang, pihaknya menyediakan laporan lengkap berserta gambar kejadian untuk dihantar ke pihak penguasa negeri bagi memohon peruntukan membaik pulih kawasan yang terjejas. 

“Antara kawasan teruk yang dilanda tanah runtuh adalah di Jalan Bukit Residen di mana tempat duduk di Tasik Residen terbabit terjejas teruk dan anggaran kerugian mencecah RM200,000,” katanya. 

Menurutnya, kerja baik pulih kawasan Tasik Bukit Residen terbabit dianggarkan mencecah RM500,000 selain turut mengambil kira kerja membaik pulih tanah runtuh di atas bukit kawasan terbabit. 

“Sekiranya peruntukan diluluskan, pihak kami mencadangkan supaya dibina dinding penahan di tersebut bagi menghalang kejadian sama berulang. 

”Kos keseluruhan bagi membaik pulih kawasan yang dilanda bencana terbabit mencecah lebih RM1 juta dan pihak kami akan menyediakan laporan ini dengan kadar segera,” katanya.