Ramadan Kareem..... Allahu Akram

Ramadan bulan tarbiah. Apakah yang kita tahu tentang tarbiah? Kalau di rungkai daripada sudut bahasa, asal kata tarbiah adalah daripada perkataan ‘rabba’ yang bermaksud didik. Tarbiah boleh dikata sebagai suatu proses pendidikan yang melatih umat Islam menjadi insan yang bertaqwa.

Semua orang perlu ditarbiah, dan tarbiah tiada penghujungnya sehinggalah kita semua menghembuskan nafas terakhir. Oleh itu Allah anugerahkan kepada kita semua Bulan Ramadan sebagai peluang yang terbaik untuk kita mendidik diri menjadi insan yang bertaqwa sebagai mana firmanNya,

“Wahai orang –orang yang beriman, berpuasalah kamu seperti mana kaum-kaum yang terdahulu agar kamu bertaqwa.”

Kerana itu kita semua disuruh untuk beribadah sebanyak mungkin dibulan puasa sebagai jalan untuk kita mentarbiah diri mengejar darjat sebagai seorang yang bertaqwa.Tetapi malangnya, satu perkara yang sering terjadi kepada umat Islam hari ini adalah beribadah SEMPENA RAMADAN sahaja. Bila mana tamatnya bulan Ramadan, maka segala ibadah yang dilaksanakan ketika bulan Ramadan dahulu ditinggalkan sedikit demi sedikit.

Kerana itu bila mana disebut Ramadan Karim (Ramadan yang mulia) kita pergi ingat bahawa Allahu Akram(Allah yang Maha Mulia). Jika kita beribadah kerana Ramadan ketahuilah bahawa sekarang Ramadan telah pun meninggalkan kita semua. Proses pentarbiahan perlu diteruskan, kita perlu pergiatkan usaha untuk kita menjadi seorang muslim yang bertaqwa.

Dalam Al-Quran ada menyebut Andai didunia ini ada tuhan yang lain mentadbir selain Allah nescaya dunia akan hancur. Begitulah hendak digambarkan bahawa hanya Allah sahaja yang mempunyai kekusaan di seluruh alam maya ini. Dan kuasa Allah tidak berkurang dibulan yang lain selain bulan Ramadan. Tugas kita adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah sepanjang sehidupan kita. Oleh itu hendaklah kita mengabdikan diri kita sepenuhnya kepada Allah semata-mata dan tidak menyekutukanNya dengan yang lain.

Umat Islam juga perlu menyemai rasa takut hanya kepada Allah semata-mata dan bukanlah takut kepada selain daripadaNya. Firman Allah dalam surah Annur:

52. dan sesiapa Yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang Yang beroleh kemenangan.

Ketaatan dan rasa takut kepada Allah adalah bukti yang paling kuat untuk kita kata seseorang itu telah mencapai kemenangan, tetapi ketaatan dan rasa takut kepada Allah yang hanya dilakonkan sepanjang Ramadan menunjukkan seseorang itu masih lagi berada di alam khayalannya.

Oleh itu mari kita tingkatkan lagi amalan kita sehari demi sehari agar Allahmemberi kita petunjuk untuk terus berada dalam cahayaNya didunia mahupun diakhirat…. insyaAllah..

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI MAAF ZAHIR DAN BATIN, SEMOGA KITA DIKEKALKAN OLEH ALLAH DALAM PERJUANGAN SUCI INI INSYAALLAH

0 comments: