Di sebalik timbunan bijih emas di Lipis

dipetik dari web paslipis.wordpress.com

Bersama dengan Pengerusi Majlis Nuqaba’ MTD Padang Tengku dan mantan YDP PAS Kawasan Lipis, saya berkesempatan menziarahi ahli-ahli di Cawangan Kg. Petola/Tain. Sebelum majlis beramah mesra dimulakan, saya sempat berbual dengan Pak Long Omar dari Kg. Dada Kering. Saya bertanya, asal usul nama kampung tersebut. Pak Long menjelaskan susur galur nama itu dengan aktiviti melombong emas di Dada Kering suatu waktu dahulu.

Saya agak tertarik dengan kekayaan hasil bumi di Lipis. Selain Kg. Dada Kering, perlombongan emas juga pernah dijalankan di Kg. Kechau Mas, bersebelahan Kg. Kechor Tui. Kini, terdapat banyak tinggalan lombong di situ. Allah menganugerahkan begitu banyak emas di Lipis. Sehingga kini, perlombongan emas masih dijalankan di Penjom. Terbaru, saya difahamkan bahawa syarikat Monument Gold Mining memulakan perlombongan emas berdekatan dengan Kuala Medang.

Yang agak misteri ialah Lipis tidak maju sebagaimana tempat-tempat lain yang kaya dengan hasil bumi. Di Kuala Lumpur dan sekitar MINES Resort, kawasan bekas lombong itu begitu pesat membangun. Di Perak yang kaya dengan bijih timah juga sangat maju. Kenapa Lipis masih terkebelakang ?

Mengikut sejarah, sebelum British datang ke Lipis pada tahun 1887, Lipis sudah terkenal dengan perlombongan emas. Penjajah Inggeris berusaha gigih untuk campur tangan di Pahang bagi membolot emas tersebut. Seawal tahun 1886, Frank Swettenham dan Federick Weld yang merupakan Gabenor Negeri-Negeri Selat cuba memujuk Sultan Ahmad supaya menerima Residen British. Tapi tak berjaya.

British kemudiannya mendapat bantuan daripada Sultan Abu Bakar di Johor untuk memujuk Sultan Ahmad. Dengan kesungguhan itu, Hugh Clifford dilantik sebagai wakil British di Pahang. Pada tahun 1988, kematian seorang warganegara British berbangsa Cina bernama Go Hui telah diambil kesempatan oleh Inggeris untuk memaksa Sultan Pahang menerima seorang Residen dan terlantiklah J.P. Rodger sebagai Residen yang pertama di negeri ini (Negeri-Negeri Melayu Bersekutu).

Berterusanlah untuk sekian lama, penjajah barat mengaut hasil bumi yang berupa emas di Lipis. Namun, emas tersebut tidak habis dan generasi baru sehingga kini masih lagi boleh bekerja di lombong emas di Penjom. Namun, Lipis sekadar menjadi bandar bersejarah. Kekayaan hasil buminya tidak membawa kepada perubahan ketara status ekonomi penduduk. Malah, pembandaran di Lipis juga agak perlahan. Siapakah sebenarnya yang mengaut keuntungan besar hasil dari perlombongan emas di Lipis ? Persoalan ini perlu dicarikan jawapan….

0 comments: