Disebalik tragedi RUNTUH


Kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa Kuala Lumpur yang melibatkan kematian beberapa orang penduduk di taman tersebut semakin dilupakan. Maklumlah, rakyat Malaysia mudah lupa seperti kata Tun M. Pada minggu lepas, bekas bangunan pasaraya di Petaling Jaya juga runtuh dan menyebabkan kematian para pekerja kontraktor terbabit. Semalam, bumbung stadium Gong Badak pula runtuh bumbungnya. Sungguh memalukan 1 Malaysia.

Seperti biasa, satu Malaysia heboh. Sekadar heboh hangat-hangat tahi ayam tidak cukup. Siasatan menyeluruh perlu dilakukan. Umumkan laporan siasatan untuk diambil pengajaran. Yang bersalah perlu dibawa ke muka pengadilan. Langkah-langkah pembetulan dan pencegahan perlu dilakukan. Stadium `tua' lain di negara ini masih mampu bertahan tetapi tanpa angin dan ribut, stadium baru berharga RM250 juta boleh runtuh. Mungkinkah pembinaan tidak mengikut spesifikasi ? Kementerian kerja raya yang dinobatkan sebagai kementerian yang paling bagus pencapaiannya perlu bertanggungjawab. SPRM patut bertindak segera, sebagaimana cepatnya mereka menyiasat ahli politik Pakatan Rakyat.

Berbalik kepada kejadian tanah runtuh, daerah Lipis tidak terkecuali. Pada musim tengkujuh yang lepas, banyak bukit dan cerun yang runtuh. Cerun berdekatan Taman Cheneras Jaya runtuh. Begitu juga dengan cerun jalan di tepi Sg. Kerpan. Kedua-duanya masih belum dibaiki. Sekadar menutup dengan kanvas dan memasang warning tape. Bukit Bius, Bukit Residen dan Bukit Kerani juga berlaku runtuhan tanah. Cerun yang berhampihan dengan IPTAA dan Kg. Selindang juga runtuh tapi telah dipasang dengan benteng batu granit. Jika memandu ke arah Benta, kita juga terpaksa melalui lencongan kerana berlaku runtuhan yang teruk.

Dalam al-Quran, Allah menegaskan bahawa gunung-ganang dan bukit bukau dijadikan sebagai pasak bumi. Namun, kerakusan manusia di atas nama pembangunan dan mencari habuan dunia, pasak bumi kini kian dimusnahkan. Pokok-pokok ditebang. Rimbunan semak diratakan dengan rakus menggunakan buldozer. Bukit terus ditarah. Terkini di Lipis, pembinaan taman perumahan baru (Taman Mas - berdekatan dengan stesen Esso yang baru) menyaksikan penggondolan bukit tanpa rasa bersalah.

Majlis Daerah Lipis sebelum ini pernah menyertai pertandingan Bandar Lestari anjuran Jabatan Alam Sekitar. Rezeki belum ada, MDL gagal diumumkan sebagai juara walaupun pokok bunga di dalam pasu menghiasi sepanjang jalan di bandar Lipis (kini dah disimpan semula). Sesuai dengan hasrat inginkan anugerah Bandar Lestari, semua yang terlibat dengan pembangunan di daerah ini perlu memastikan alam sekitar terpelihara. Tambahan pula, usia bumi sudah begitu tua. Usah percepatkan kemusnahan di daerah bersejarah ini. Usahlah negara dikejutkan dengan tragedi ngeri dari LIPIS.

0 comments: