Lynas & Kesedaran Alam Sekitar


Kilang Lynas di Gebeng yang dibina untuk memproses bahan nadir bumi terus mendapat bantahan punduduk. Bermula dengan gerakan penerangan menerusi blog, kini memasuki fasa baru dengan demo di Kuantan dan KL. Pihak kerajaan BN Pahang yang membenarkan projek tersebut meminta rakyat menunggu keputusan panel bebas yang membuat penilaian. Saya melihat bantahan ini dari sudut kesedaran terhadap aspek keselamatan, kesihatan dan alam sekitar. Di bawah ini, saya paparkan sedikit penerangan tentang alam sekitar dan pencemaran sebagai panduan masyarakat umum.

1.0 Pendahuluan

Alam sekitar adalah amanah dan anugerah Allah kepada manusia. Ia harus dipelihara sebagai warisan generasi yang berpanjangan. Warisan ini begitu tinggi nilainya dalam kehidupan manusia. Walaupun tanggungjawab menjaga alam sekitar sangat penting, namun ianya seringkali diabaikan. Natijahnya, berlakulah pelbagai bentuk pencemaran alam sekeliling. Sekiranya tiada langkah-langkah kawalan dilakukan, kehidupan manusia di planet bumi akan terancam dengan bahan-bahan cemar yang berbahaya.

Pencemaran alam sekitar telah disedari oleh manusia semenjak sekian lama. Menurut Daniel Vallero yang menulis buku `Fundamentals of Air Pollution’, sejak tahun 61SM lagi, seorang ahli falsafah bernama Seneca telah membangkitkan masalah pencemaran asap dari cerobong dapur di bandar Rom. Di samping aktiviti manusia, pencemaran alam sekitar juga boleh berlaku sewaktu malapetaka. Misalnya, tragedi gempa bumi dan tsunami di Jepun pada 11 Mac 2011 telah menyebabkan loji nuklear di Fukushima terbakar dan seterusnya berlaku pencemaran bahan radioaktif yang serius.


2. 0 Makna Alam Sekitar

Sebelum membincangkan tentang konsep pencemaran alam sekitar, wajar difahami terlebih dahulu makna ungkapan `alam sekitar’. Secara umumnya, alam adalah segala makhluk ciptaan Ilahi yang ada di langit dan di bumi. Menurut Kamus Dewan, perkataan alam sekitar adalah merujuk kepada persekitaran fizikal, persekitaran kehidupan dan keadaan luaran yang mempengaruhi kehidupan manusia, haiwan dan tumbuhan. Dari sudut saintifik, alam sekitar merujuk kepada `alam tabii’ (nature) yang dikaitkan dengan dua unsur iaitu abiotik (benda bukan hidup) seperti angin, batu atau suhu; dan unsur biotik (benda hidup) seperti manusia, binatang serta tumbuhan.

Mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling, yang digubal di Malaysia pada tahun 1974, alam sekitar diertikan sebagai faktor-faktor fizikal di sekeliling manusia termasuklah tanah, air, udara, iklim, bau; faktor-faktor biologi bagi binatang dan tumbuhan; dan faktor-faktor sosial estetika iaitu bagaimana masyarakat berinteraksi dengan persekitaran gubahan manusia seperti kawasan perindustrian, kawasan petempatan, jaringan perhubungan dan sebagainya. Menurut Hamidi Ismail dalam bukunya `Pengurusan Alam Sekitar’, terdapat empat komponen utama alam sekitar iaitu atmosfera (unsur udara seperti oksigen, nitrogen, hidrogen); litosfera (unsur batuan, tanah tanih); biofera (hidupan seperti manusia, serangga, organisma); dan hidrosfera (komponen air seperti sungai, kolam, tasik).

Pakar alam sekitar tempatan, Prof. Datuk Dr. Zaini Ujang menyatakan bahawa alam sekitar mempunyai sifat-sifat yang seimbang, indah dan segar. Sifat seimbang ialah sentiasa harmoni dan saling berhubungan. Contohnya ialah keseimbangan penghasilan oksigen yang dikeluarkan oleh tumbuhan dengan penghasilan karbon dioksida yang dikeluarkan oleh manusia dan haiwan. Indah pula merupakan persekitaran semulajadi ciptaan Tuhan seperti gunung-ganang, sinar suria, air terjun dan sebagainya. Seterusnya, sifat alam sekitar yang segar digambarkan melalui warna-warna asli yang menyejukkan mata seperti keindahan panorama flora dan fauna.


3.0 Konsep Pencemaran Alam Sekitar

Pencemaran alam sekitar boleh didefinisikan sebagai kehadiran satu atau lebih bahan cemar atau gabungannya dalam kuantiti tertentu, pada sesuatu jangka waktu, yang boleh atau berkecenderungan menyebabkan mudarat kepada kehidupan manusia, haiwan, tumbuhan atau harta benda, atau mengganggu suasana kehidupan yang tenteram atau kelangsungan sesuatu kegiatan. Di samping itu, terdapat takrifan lain yang menyatakan bahawa pencemaran alam sekitar adalah pembuangan bahan-bahan hasil dari aktiviti manusia ke dalam persekitaran, yang menyebabkan terganggu keselesaan kehidupan.

Takrifan rasmi pencemaran di sisi undang-undang Malaysia, seperti yang termaktub di dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ialah sebarang pengubahan sama ada secara langsung atau tidak langsung terhadap sifat-sifat kimia, fizik atau biologi persekitaran menerusi pelepasan atau pembuangan bahan-bahan berbahaya, bahan cemar atau sisa buangan, yang memberikan kesan yang tidak baik terhadap kesihatan, keselamatan dan kebajikan orang ramai, binatang atau tumbuhan; atau perlanggaran terhadap mana-mana terma atau tahap bahan cemar yang ditetapkan oleh undang-undang.

Berdasarkan takrifan di atas, konsep pencemaran adalah bergantung atau berpandukan kepada suatu nilai atau pengukuran yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, kenderaan menjana tenaga daripada pembakaran minyak petrol atau diesel di dalam enjin. Kesan daripada pembakaran tersebut akan menghasilkan pelepasan asap yang mengandungi gas-gas yang berbahaya seperti karbon monoksida. Namun, pencemaran udara yang disebabkan oleh pelepasan asap kenderaan hanya terjadi sekiranya gas-gas yang dilepaskan daripada ekszos adalah melebihi limit yang ditetapkan atau secara mudahnya, pelepasan asap yang berwarna hitam. Begitu juga dengan pelepasan air buangan industri. Antara parameter dan had yang ditetapkan ialah kandungan pepejal terampai 50 mg/liter dan nilai pH dalam julat 6.0 – 9.0.

Allah SWT telah menciptakan alam ini dengan sebaik-baik kejadian. Secara fitrahnya, memang terdapat pelepasan bahan cemar seperti habuk ke udara. Di samping itu, terdapat sisa buangan daripada lebihan makanan atau sampah yang berpunca dari daun-daun tua yang gugur. Namun, pencemaran tersebut boleh dineutralkan menerusi keseimbangan sistem alam sekitar. Misalnya, dengan berlakunya hujan, habuk-habuk yang berterbangan di udara akan gugur ke bumi dan menjadikan udara kembali bersih. Begitu juga dengan sisa buangan yang boleh diurai oleh organisma kecil dan menjadi baja kepada pelbagai jenis pokok. Namun, kerakusan manusia mengejar keuntungan dan kemewahan hidup, telah melepaskan bahan-bahan pencemar secara berlebihan dan melebihi daya tampung alam sekitar. Maka berlakulah pencemaran alam yang serius, terutama mutakhir ini.

Pencemaran alam sekitar boleh dibahagikan kepada beberapa jenis seperti pencemaran udara, pencemaran air, pencemaran tanah-tanih, pencemaran hingar (bunyi bising), bau dan sebagainya. Pencemaran tersebut akan membawa kepada banyak kesan buruk seperti berlakunya jerebu, hujan asid, wabak penyakit, peningkatan suhu bumi, kualiti air terjejas dan kehidupan samada ada daratan atau akuatik akan terancam. Dalam kes jerebu misalnya, ia berpunca daripada pembakaran terbuka di semasa pembukaan tanah ladang atau sewaktu penanaman semula. Pelepasan asap dan habuk ke udara secara melampau menyebabkan berlakunya jerebu dan ia diukur berdasarkan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

1 comments:

Jed Yoong said...

Nice photo.

Who is the photographer?