Program Di Sana Sini

Berikut adalah beberapa program yang telah dijadualkan. Sila lapangkan masa untuk hadir:

1] Kuliah haraki bulanan oleh Ust Yusof Embong di Markas Kg. Telemin, Pdg. Tengku
pada 5 Julai 2009, maghrib bersama.

2] Taklimat Dana Takwa di Felda Chegar Perah oleh Sdr Roslan Zainal Ahmadi pada 9 Julai 2009(akan diperincikan kemudian).

3] Jambori Amal Negeri Pahang di Tanah Rata, Cameron Highlands pada 17-19 Julai 2009.

4] Seminar Penerangan bersama YB Dr Dzulkifly Ahmad di Dewan Pejabat PAS Kawasan
Lipis (Bandar Baru Lipis), 9.00 pg - 2.00 ptg. Yuran pendaftran RM10 (program
dalaman ahli PAS sahaja). Tarikh: 18 Julai 2009.

Sila hebahkan kepada orang ramai. Wassalam.

Jenazah Hj. Abu Hassan Selamat Disemadikan


Jenazah almarhum Hj. Abu Hassan Mohamed (1952-2009) telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kg. Relong, Kuala Lipis pada 11.30 pagi (18. 06. 09). Tazkirah dan talkin telah disempurnakan oleh Naib Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man. Beliau mengingatkan semua yang hadir bahawa kematian bukanlah kesudahan penghidupan. Ia merupakan satu proses perpindahan dari alam dunia ke alam barzakh.

Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim juga meminta kepada semua yang hadir supaya mengambil iktibar bahawa jasad setiap kita juga akan dikebumikan pada suatu hari nanti. Maka, kita perlu membuat persediaan untuk menghadapi saat tersebut dengan melakukan amal soleh.

Terdahulu, jenazah telah disembahyangkan di rumah almarhum Hj. Abu Hassan pada pukul 10.30 pagi, yang diimamkan oleh Ketua Urusan Ulama’, Ustaz Hj. Muhyiddin. Turut hadir ialah Setiausaha Badan Perhubungan, Roslan Zainal, Setiausaha Pemuda, Ustaz Junaidi dan tokoh korporat Dr. Abdul Wahab. Turut serta menyembahyangkan jenazah ialah YDP PAS Lipis, Ust. Ishak Sat; YDP PAS Cameron Highlands, Ustaz Ahmad Ludin dan YDP PAS Raub, Dr. Mohamad Nilam.

PAS Kawasan Parlimen Lipis telah kehilangan seorang aktivis yang gigih dan komited dalam perjuangan Islam. Semoga rohnya berbahagia di sisi Allah di alam persinggahan. Selamat jalan saudaraku…. Al-Fatihah

S/U PAS Lipis Meninggal Dunia

Setiausaha PAS Kawasan Parlimen Lipis, Allahyarham Hj. Abu Hassan Hj Mohamed, 57, telah kembali ke rahmatullah pada malam tadi (17 Jun 2009). Mengikut maklumat yang diterima, beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Daerah Lipis selepas mengadu sakit dada. Al-fatihah.

Beliau dilahirkan pada 8 Julai 1952 dan kembali menetap di Kg. Relong, Kuala Lipis selepas bersara dari RTM pada tahun 2004. Allahyarham kemudiannya menjalankan perniagaan sendiri sebagai agen takaful (Agensi Ar-Rawa) di bangunan MARA, bersebelahan stesen keretapi Kuala Lipis.

Antara program parti terakhir bersama beliau ialah menghadiri Mesyuarat PAS Kawasan Parlimen Lipis pada 13 Jun 2009. Terdahulu, kami bersama beliau menjalankan usrah di Kg. Tain/Petola, Kuala Lipis. Semasa sesi taaruf, Allahyarham memakmumkan bahawa beliau mempunyai 4 orang cahaya mata.

Pada waktu Zohor semalam, beliau menunaikan solat berjamaah di Madrasatul Firdaus (Masjid Lama Kuala Lipis). Beliau kelihatan sihat dan memaklumkan kepada saya untuk menguruskan kebenaran polis (permit) bagi ceramah Naib Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man di Kg. Telok Gunung pada hari ini (18 Jun 2009).

Saya sempat hadir ke pejabat beliau di bangunan MARA. Beliau mahu memberikan perisian jawi tetapi saya tidak membawa Pendrive. Beliau menunjukkan kepada saya slogan `Islam Memimpin Perubahan’ yang telah ditaip dengan menggunakan tulisan jawi. Tiada tanda-tanda bahawa beliau akan meninggalkan kami.

Selepas solat Isyak, kami dikejutkan dengan deringan telefon dan SMS dari ahli keluarga beliau dan para sahabat seperjuangan, yang memaklumkan bahawa beliau baru sahaja dijemput mengadap ke hadrat Ilahi. Inna lillahi Wa Inna Ilaihi Rajiuun. Kami bersegera ke hospital. Dalam perjalanan, seorang sahabat memaklumkan bahawa jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke rumahnya di Kg. Relong.

Bersama sanak-saudara, para penduduk dan hadirin-hadirat, majlis bacaan Yaasin dan tahlil telah disempurnakan di rumah beliau pada malam tadi. Saya sempat melihat wajahnya yang tenang. Semoga Allah SWT menempatkan rohnya bersama para syuhada’ dan golongan solihin. Amim ! Ya Rabbal ‘Alamin

Kuliah & Ceramah Di Sana-Sini

Berikut adalah beberapa program kuliah/ceramah setempat di Parlimen Lipis & Cameron Highlands. Anda dijemput hadir dan tolong hebahkan:

1] Kuliah aqidah bulanan oleh Ust. Junaidi di Markas Tempoyang, Lipis pada 13 Jun 2009, mulai solat Maghrib. Kitab: Muqaddimah Aqidah Muslimin.

2] Kuliah tajwid mingguan oleh Ust. Abd. Rahman di Markas Bapong (hari Khamis) dan di Markas Berchang (hari Sabtu). Kuliah bermula selepas solat Maghrib.

3] Ceramah umum oleh Sdr. Mohamad Sabu di Markas Sg. Koyan Satu pada 13 Jun 2009, selepas Isyak. Jamuan makan tengahari di Darul Hidayah pada hari yang sama.

4] Ceramah perdana oleh Ybh Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dan Sdr. Roslan Zainal al-Ahmadi di Kg. Telok Gunung (berhampiran markas PAS) pada 18 Jun 2009, selepas Isyak.

Sila hadir hadir beramai-ramai. Wassalam.

Pemuda bertekad memenangi PRK Manek Urai

Timbalan Ketua DPP Pusat, Ustaz Azman Shapawi berikrar untuk memastikan kemenangan calon PAS dalam PRK Manek Urai. Tekad tersebut diucapkan ketika membahaskan ucapan dasar Muktamar Tahunan ke 55 di Stadium Malawati. Beliau berjanji akan menghantar seramai mungkin Pemuda PAS untuk bertugas sepanjang kempen PRK tersebut.

Kerusi DUN Manek Urai mesti dipertahankan. PRK ini tidak akan menukar kerajaan negeri yang memerintah. Namun, kemenangan PRK ini akan memberikan pukulan yang cukup pedih kepada Be End (Bn). Rakyat di kawasan pengundi pelbagai kaum di Semenanjung telah menolak Bn dengan keputusan 4 - 0. Bn begitu berharap untuk menang di kawasan majoriti Melayu seperti di Manek Urai. Mereka mahu menagih sisa-sisa sokongan dari orang Melayu.

Kepada semua Pemuda PAS khasnya dan PR amnya, mari bersama kita menyertai pesta jihad ini. Mari berjumpa dengan seberapa ramai pengundi. Bukan setakat pengundi DAP (duduk atas pagar) yang perlu didekati, malah orang-orang Umno. Cerita Ketua Dewan Ulama' PAS, Dato' Harun Taib semasa sesi penggulungan muktamar wajar direnungi. Katanya, dengan senyuman, seorang Umno totok sanggup memberikan undi kepada calon PAS. Tambahan pula, seperti kata Pengerusi Tetap, dalam pertarungan tidak semua musuh dapat dikalahkan dengan senjata. Ada yang boleh tewas dengan tutur kata dan kerdipan mata.

Ayuh kita turun ke medan. Ketika melalui Manek Urai sebentar tadi, jalan utama dari Laloh hingga ke Pahi telah berlaku perang poster. Demam pilihan raya telah bermula. Jangan lupa untuk bermunajat kepada Allah supaya diturunkan pertolongan dari langit dan bumi. Allahu Akbar !!!

Perubahan kepimpinan Pemuda

Pada 6 Jun 2009, kami sempat mengikuti ceramah umum sempena dengan Muktamar ke 55 di Stadium Malawati. Ceramah tersebut membariskan 2 orang MB iaitu Tan Sri Khalid dan Tok Guru Nik Aziz. Turut berceramah ialah wakil Hamas dan Dr Halimah Ali. Dalam kesempatan ini, saya tidak berhasrat menceritakan isi ceramah tetapi ingin berkongsi kejadian di luar stadium.

Selepas ceramah, saya mengunjungi gerai-gerai buku di sekeliling stadium. Tanpa diundang, datang seorang pemuda yang umurnya agak sebaya dengan saya. Beliau menunjukkan gambar Ustaz Nasruddin Tantawi. Gambar tersebut tertera pada buku terbaru Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat tersebut. Saya tidak pasti pemuda itu seorang SB atau rakyat biasa. Nampak ada menyimpan janggut.

Beliau bertanya saya: "Inikah Ketua Pemuda yang baru ?", sambil menunjukkan gambar Ustaz Nasruddin. Saya hanya mengangguk. Lantas beliau berceramah, bolehkan orang ini memimpin Pemuda ? YB Salehuddin telah memimpin Pemuda PAS jauh ke hadapan... bla..bla. Saya tidak ada mood hendak melayan kerana sudah lewat malam. Kemudian, pemuda itu pun pergi meninggalkan saya.

Dalam Islam, kita tidak diajar supaya meminta jawatan. Ketua Pemuda yang baru telah dilantik secara syura selepas berbincang dengan calon-calon. Tugas kita kini bukan lagi mempersoalkan perlantikan tersebut. Usah bazirkan masa. Pemuda perlu bersama kepimpinan baru untuk terus mara ke hadapan. Perubahan kepimpinan telah berlaku dan mari kita bergerak dalam satu saf untuk terus maju bersama Islam. Umno sedang buat kerja dan kita jangan terperangkap dengan isu-isu remeh.

Pemuda pemacu perubahan

Muktamar PAS ke 55 bertemakan `Islam memimpin perubahan'. Perubahan berlaku di mana-mana. Biji benih yang ditanam akan tumbuh menjadi pokok dan berbuah. Jika tidak berubah, maksudnya ia adalah pokok yang telah mati dan akan reput dan musnah. Badan kita juga berubah sehingga ke suatu tahap yang telah ditetapkan oleh Allah. Dari benih kedua ibu bapa, menjadi bayi, kanak-kanak, dewasa dan tua. Namun, bagi manusia, penilaian dibuat terhadap perubahan sikap kepada yang lebih positif, perubahan dari akhlak mazmumah kepada mahmudah dan perubahan dari penghambaan sesama insan kepada perhambaan hanya kepada Tuhan.

PAS adalah sebuah gerakan Islam. PAS ingin mengajak masyarakat Malaysia berubah ke arah sistem hidup yang di redhai oleh Allah. Untuk itu, tiada sistem lain yang selayaknya diguna pakai melainkan sistem Islam. Ya, Islam perlu memimpin perubahan. Seperti kata Sukarno, jika beliau diberikan 100 orang tua, mereka hanya mampu merobohkan gunung berapi. Sebaliknya, jika diberikan 10 orang pemuda, mereka mampu menggoncang dunia.

Pemuda dan perubahan tidak boleh dipisahkan. Pemuda memiliki kekuatan tenaga, ketahanan stamina dan ketinggian semangat pertarungan. Tidak hairanlah, Tuan Presiden PAS membuat beberapa penegasan penting terhadap pemuda ketika menyampaikan ucapan dasar. Pemuda dikehendaki menjadi penyelamat muda-mudi daripada keruntuhan akhlak serta hanyut dalam hiburan di luar batasan agama. Pemuda diminta mempergiatkan program tarbiyyah. Mereka perlu manfaatkan Pusat Latihan Akademi Kepimpinan Pemuda di Kok Lanas.

Pemilihan


Sekarang sedang berlangsung agenda memilih pimpinan PAS. Para perwakilan perwakilan sedang beratur untuk mengundi calon pilihan mereka

Posted by ShoZu

Islam memimpin Perubahan


Sedang berlangsung Muktamar PAS PUSAT ke55 di stadium Malawati Shah Alam. Sekarang DS Abdul Hadi presiden PAS sedang menyampaikan ucapan Dasar presiden.

Posted by ShoZu

Senarai jawatankuasa pemuda PAS PUSAT


Ketua: Ust.Nasrudin Hasan
T.Ketua:Ust. Azman Shapawi
N.Ketua:Subki Yusuf.
Ajk:
1. Ust. Ridhuan m.Nor
2.Ust. Nik Abduh Nik Abd Aziz
3.Ust Firdaus Jaafar
4.Ust hj Nazri chik Md zin
5.Suhaizan Kaiat
6.Ust Nasir Zakarian
7.Ust Kamal Ashari
8.Kamaruzaman Mohamad
9.Khairul Faizi Ahmad Kamil.
10.Mohd Adraf Musa
11. Abdullah abdul Karim
12.Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob.

Posted by ShoZu

Al fatihah


Setiap yang hidup pasti akan menemui mati. Takziah dan bersabarlah wahai sahabat kami nordafani b daud atas pemergian ibundanya yang tercinta. Moga rohnya dicucuri rahmat.Amin

Posted by ShoZu

Muktamar Dewan Pemuda PAS PUSAT ke-50


Malam ini bermula sidang Muktamar Pemuda. Perasmian oleh Ust. Nasharudin Md Isa.
Muktamar berlangsung Di dewan dato fadhil Nor. Dari 3-4jun 2009.
Pemuda Lipis menghantar 2 orang sebagai perwakilan iaitu dato kp n yb s.U.
Dan 2 orang pemerhati dari pemuda kawasan lipis.

Posted by ShoZu

Muktamar Dewan Pemuda PAS PUSAT ke-50


Malam ini bermula sidang Muktamar Pemuda. Perasmian oleh Ust. Nasharudin Md Isa.
Muktamar berlangsung Di dewan dato fadhil Nor. Dari 3-4jun 2009.
Pemuda Lipis menghantar 2 orang sebagai perwakilan iaitu dato kp n yb s.U.
Dan 2 orang pemerhati dari pemuda kawasan lipis.

Posted by ShoZu

Berdakwah dengan fakta sejarah


Surah al-Fatihah (Pembukaan) sangat dekat dengan kita. Tiada solat tanpa surah ini. Namun, ada banyak yang belum diambil faham tentang ayat-ayat dalam surah al-Fatihah. Dalam satu majlis di Taman Melewar, Tok Guru Nik Abdul Aziz melontarkan suatu pandangan yang tidak pernah saya terfikir. Menurut beliau, peri pentingnya sejarah telah dirakamkan oleh Allah SWT di dalam surah ini.

Dibaca dan diterjemahkan ayat 6 & 7: "Tunjukilah kami jalan yang lurus. (Iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat". Tok Guru menjelaskan bahawa berdasarkan sejarah manusia terdahulu, terdapat mereka yang dianugerahkan nikmat dan ada pula yang telah sesat dan dimurkai Allah. Maka, sebagai generasi kini, ambilah iktibar daripada sejarah. Dalam ayat-ayat yang lain, Allah SWT meminta kita berjalan di muka bumi dan mengambil pengajaran dari kisah-kisah nenek moyang yang bermula sejak era Adam dan Hawa.

Bandar Lipis diiktiraf sebagai bandar bersejarah. MDL kini sedang giat mengumpulkan maklumat mengenai 14 bangunan bersejarah di bandar ini. Fokus mereka lebih kepada pemuliharaan bangunan untuk tujuan perlancongan. Dalam konteks dakwah, fakta-fakta sejarah boleh digunakan dalam menarik minat audien. Bangunan-bangunan yang tersergam seperti Rumah Rehat Bukit Residen dan Kompleks Pejabat Kerajaan di Lipis bukanlah sekadar tinggalan British ketika melombong bijih. Mereka sebenarnya datang dengan misi 3G (god, gold & glory). Penjajah sebenarnya telah membawa ajaran kristien ke bumi bertuah seperti Lipis. Hatta kini, bilangan gereja di bandar ini melebihi jumlah masjid.

Walaupun ada juga pendapat bahawa penentangan Orang Kaya Haji terdapat Inggeris akibat kehilangan kuasa memungut cukai tetapi dari sudut yang lain, bersama alim ulama', umat Islam di Tanah Melayu bangkit berjihad melawan musuh. Ini kerana para tok guru faham bahawa penjajahan wilayah adalah haram (disepakati oleh semua mazhab).
Dalam kesempatan ini, saya sekadar memberikan beberapa contoh. Kesimpulannya, fakta dan catatan sejarah di tanah kelahiran kita perlu diketahui. Ia boleh dimanfaatkan untuk tujuan berdakwah.

Disebalik tragedi RUNTUH


Kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa Kuala Lumpur yang melibatkan kematian beberapa orang penduduk di taman tersebut semakin dilupakan. Maklumlah, rakyat Malaysia mudah lupa seperti kata Tun M. Pada minggu lepas, bekas bangunan pasaraya di Petaling Jaya juga runtuh dan menyebabkan kematian para pekerja kontraktor terbabit. Semalam, bumbung stadium Gong Badak pula runtuh bumbungnya. Sungguh memalukan 1 Malaysia.

Seperti biasa, satu Malaysia heboh. Sekadar heboh hangat-hangat tahi ayam tidak cukup. Siasatan menyeluruh perlu dilakukan. Umumkan laporan siasatan untuk diambil pengajaran. Yang bersalah perlu dibawa ke muka pengadilan. Langkah-langkah pembetulan dan pencegahan perlu dilakukan. Stadium `tua' lain di negara ini masih mampu bertahan tetapi tanpa angin dan ribut, stadium baru berharga RM250 juta boleh runtuh. Mungkinkah pembinaan tidak mengikut spesifikasi ? Kementerian kerja raya yang dinobatkan sebagai kementerian yang paling bagus pencapaiannya perlu bertanggungjawab. SPRM patut bertindak segera, sebagaimana cepatnya mereka menyiasat ahli politik Pakatan Rakyat.

Berbalik kepada kejadian tanah runtuh, daerah Lipis tidak terkecuali. Pada musim tengkujuh yang lepas, banyak bukit dan cerun yang runtuh. Cerun berdekatan Taman Cheneras Jaya runtuh. Begitu juga dengan cerun jalan di tepi Sg. Kerpan. Kedua-duanya masih belum dibaiki. Sekadar menutup dengan kanvas dan memasang warning tape. Bukit Bius, Bukit Residen dan Bukit Kerani juga berlaku runtuhan tanah. Cerun yang berhampihan dengan IPTAA dan Kg. Selindang juga runtuh tapi telah dipasang dengan benteng batu granit. Jika memandu ke arah Benta, kita juga terpaksa melalui lencongan kerana berlaku runtuhan yang teruk.

Dalam al-Quran, Allah menegaskan bahawa gunung-ganang dan bukit bukau dijadikan sebagai pasak bumi. Namun, kerakusan manusia di atas nama pembangunan dan mencari habuan dunia, pasak bumi kini kian dimusnahkan. Pokok-pokok ditebang. Rimbunan semak diratakan dengan rakus menggunakan buldozer. Bukit terus ditarah. Terkini di Lipis, pembinaan taman perumahan baru (Taman Mas - berdekatan dengan stesen Esso yang baru) menyaksikan penggondolan bukit tanpa rasa bersalah.

Majlis Daerah Lipis sebelum ini pernah menyertai pertandingan Bandar Lestari anjuran Jabatan Alam Sekitar. Rezeki belum ada, MDL gagal diumumkan sebagai juara walaupun pokok bunga di dalam pasu menghiasi sepanjang jalan di bandar Lipis (kini dah disimpan semula). Sesuai dengan hasrat inginkan anugerah Bandar Lestari, semua yang terlibat dengan pembangunan di daerah ini perlu memastikan alam sekitar terpelihara. Tambahan pula, usia bumi sudah begitu tua. Usah percepatkan kemusnahan di daerah bersejarah ini. Usahlah negara dikejutkan dengan tragedi ngeri dari LIPIS.