Politik Malaysia Pasca Muktamar PAS

Tema ucapan dasar `negara berkebajikan' dan keputusan pemilihan pimpinan pusat masih lagi hangat dibicarakan di media massa. Termasuklah media tidak rasmi sebelah Be End (BN). Hari ini, 11 Jun 2011, PM Najib dilaporkan pelik dengan PAS kerana baru sekarang nak menuju ke arah negara berkebajikan. BN, kata Najib sudah lama buat. Berita itu menambah, PAS nak tiru BN. Malaysiakini pula siarkan berita memetilkik kata Ust. Dato' Tuan Ibrahim bahawa PAS tak meniru kebajikan ala BN walau seinci pun. Dua hari lepas, berita jam 8 TV3 cuba mengulas bahawa PAS dah buat pusingan U. Kata depa, PAS dah berubah dari perjuang negara Islam kepada negara berkebajikan.

Membaca Harakahdaily, saya ingin memetik tulisan YB Khalid Samad sebagai menjawab isu-isu di atas, dengan tajuk Coretan Muktamar PAS ke 57.


"Isu yang turut dilaung-laungkan ialah bahawa kononnya PAS sudah menggugurkan matlamat perjuangannya dan menerima matlamat perjuangan PKR dan DAP. Ini adalah kerana cogan kata yang digunakan PAS adalah ‘Negara Berkebajikan’ dan bukannya ‘Negara Islam’.

Hakikatnya, sekiranya ada parti politik yang ingin mengubah matlamat perjuangannya, ianya bukan dengan mengemukakan cogan-kata tertentu. Ianya mesti melalui pindaan perlembagaan parti tersebut. Selagimana perlembagaan tidak diubah, maka apa cogan kata sekalipun mesti ditafsir berdasarkan perlembagaan yang digunapakai".

Istilah ‘Negara Berkebajikan’ bagi ahli PAS ialah ‘sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah’ (Perlembagaan PAS fasal 5).

Istilah ‘Negara Berkebajikan’ digunapakai kerana ingin memberi penegasan kepada aspek kebajikan yang terjamin dalam sesebuah masyarakat yang sedemikian rupa. Istilah ‘Negara Islam’ tidak digunapakai kerana penekanan melalui istilah itu adalah hukum-hakam Islam, khususnya Hudud, seolah-olah itu sahajalah apa yang terdapat di dalam pemerintahan yang diinginkan PAS. Sedangkan hukum-hakam Islam, termasuk Hudud, adalah bertujuan untuk menghasilkan kebajikan kepada manusia! Termasuk dalam takrif ‘berkebajikan’ itu adalah keadilan, kebertanggung-jawaban dan keamanan.

Dalam erti-kata yang lain, istilah ‘Negara Berkebajikan’ membawa rakyat untuk melihat kepada hasil dan kesudahannya; sambil istilah ‘Negara Islam’ memperlihatkan mekanisma dan perundangannya.

Jikalau dirujuk di dalam Al-Quran, istilah yang masyhur yang terdapat di dalamnya adalah ‘Baldatun Tayyibatun wa Rabbul Ghafuur’ atau ‘Negara yang baik serta pengampunan dari Tuhan’. Ianya merupakan istilah yang menumpukan kepada persoalan hasil yang diinginkan dan hasil ini mampu menarik minat semua pihak.

Lagipun, semua yang mengaji memahami kaedah ‘Al-Hukmu yadurru ‘alal musamma laa ‘alal ismi’ atau ‘hukum (sesuatu perkara) bergantung kepada perkara yang dinamakan itu, bukan kepada namanya’. Dalam erti kata lain, ‘apa ada pada nama, yang penting benda atau isinya!’

Saf Kepimpinan Baru PAS Pusat


Alhamdulillah, perwakilan muktamar telah menunaikan tanggungjawab mereka dan memilih saf kepimpinan baru parti. Sebagai ahli, saya bersyukur kerana parti dibarisi oleh para pemimpin yang berkaliber. Satu gabungan yang mewakili para ulama, profesional dan aktivis. Kepimpinan baru ini turut diberikan publisiti muka depan oleh akhbar arus perdana. Tumpuan akhbar-akhbar tersebut adalah untuk memburukkan PAS. Namun, secara tidak langsung, kepimpinan baru PAS telah dihebahkan ke seluruh dunia.Takbir!

Kempen PRU 2011 Thailand


Sebelum ini, saya pernah ke Thailand dan melihat suasana kempen di sana. Terdapat perbezaan ketara dengan Malaysia di mana di sana parti-parti yang bertanding mendapat peluang kempen yang setara. Terpulang kepada rakyat untuk membuat pilihan.

Kempen PRU 2011 sedang berlangsung di Siam. Saya tertarik dengan sekeping gambar calon yang bernama Yingluck (adik Thaksin). Gambar itu dirakam di Bangkok ketika Yingluck berkempen di sebuah masjid. Beliau didapati memakai selindang di atas kepala. Memang masih tidak menutup aurat. Macam kaum ibu Umno juga. Sekadar meletak kain di atas rambut. Satu lagi, gambar itu menunjukkan bahawa Yingluck dan penyokongnya menyatakan sesuatu dengan jari telunjuk mereka. Sekali pandang, macam gaya kumpulan 1Malaysia. Saya tak pasti sama ada, di negara gajah putih itu ada 1Thai. Jika ada, maknanya banyak pihak menggunakan doktrin ini untuk menarik sokongan pengundi.

Kepimpinan Ulama-Profesional


Saya baru selesai membaca berita di harakahdaily. Petang ini (27 Mei 2011), akan diumumkan calon-calon yang akan bertanding kerusi-kerusi dalam hierarki kepimpinan PAS. Insya'allah, perwakilan muktamar akan membuat pemilihan yang terbaik. Sebagai seorang graduan dalam bidang kejuruteraan, saya sangat beruntung untuk sentiasa berdampingan dengan para ulama'. Namun, iklim politik masa kini tidak menentu. Percaturannya tidak lagi semudah sifir matematik biasa. Justeru, gabungan kepimpinan ulama dan profesional dari sudut disiplin ilmu difikirkan sesuai untuk harakah Islam seperti PAS.

Dua tahun dahulu, sewaktu menghadiri muktamar di Stadium Melawati, tiba-tiba seorang ulama yang berucap bagi negeri Selangor bangkit bertanya: "Tiadakah etika untuk wartawan wanita non muslim di dalam muktamar ?" Ya, saya pernah melihat non muslim diberikan jubah semasa melawat masjid. Tetapi bagaimana dengan muktamar? Suatu ibadah umum yang dihadiri oleh wanita non muslim yang tidak menutup aurat. Nak halang akan dikatakan PAS masih tidak terbuka. Justeru, situasi begini perlu keputusan kepimpinan untuk melihat dari sudut hukum dan waqi' perjuangan.

Kemudian, setelah PR memiliki YB wanita non muslim, maka timbul pula persoalan batasan untuk YB masuk ke masjid atau surau. Hukum sudah sedia ada, namun ia adalah perkara baru bagi yang tiada pendedahan mengendalikan situasi begini. Semasa saya menjadi jurutera di Malaysian Sheet Glass, Pasir Gudang, saya selalu ke seberang dan bersolat di Arab Sreet, Singapura. Terdapat papan peringatan bahawa masjid itu telah dirasmikan oleh Lee Kuang Yew. Jadi, mungkin masyarakat di mana muslim minoriti atau pemerintah mereka non muslim, telah biasa bagi mereka menjemput pemimpin ke masjid, surau atau majlis yang ada kaitan dengan ibadah umum.

Kesimpulannya, ulama' adalah pewaris nabi. Namun, siapa pun yang telah diamanahkan menjadi pemimpin kita, berilah ketaatan. Jangan membentuk kelompok baru yang membelakangi pemimpin yang telah dilantik. Mungkin tak baik mengikut selera kita tapi baik di sisi Allah SWT. Takbir !

Andainya YB Padang Tengku meninggal


Sudah ramai YB yang menang PRU12 yang meninggal. Pergi menemui Ilahi. Matinya mereka adalah satu proses perpindahan ke alam baru. Alam barzakh yang pasti menanti setiap yang bernyawa. Bersemadi di situ untuk satu lagi proses peralihan ke alam akhirat yang kekal abadi. Mahkamah akan bersidang untuk membuat justifikasi terhadap amal baik dan buruk. Bagi seorang YB, ada dosa dan pahala dalam amalan politik mereka.

Pagi ini saya bercuti. Lalu, kesempatan yang ada pergi menghantar anak ke SMA Padang Tengku. Nampaknya ada projek melebarkan tepi jalan berhampiran sekolah. Ini akan mengurangkan kesesakan di depan pintu pagar semasa menghantar dan mengambil anak sekolah. Kemudian, membuat u-turn untuk menghantar anak yang lain ke SMK Padang Tengku. Tiba di selekoh masjid, berselisish dengan sebuah kereta yang menghantar anak ke PASTI. Saya mengambil jalan tepi tetapi kereta jatuh ke dalam lubang kerana jalan berlopak.

Terus mara ke hadapan. Jatuh lagi lubang besar di jalan Kg. Batu Nering. Saya fikir kerosakan jalan ini sudah lama berlaku. Dulu anak almarhum bilal masjid Padang Tengku pernah kemalangan di sini. Lama juga masuk wad kerana kecederaan di kepala. Rumah Tok 4 tak jauh dari jalan ini. Selalu juga nampak Tok 4 lalu jalan tersebut semasa ke masjid. Tapi, kenapa tidak baiki.

Saya amat yakin. Seandainya ada PRK, jalan ini akan dibaiki segera. Segala macam projek mee segera datang mencurah-curah. Inilah budaya KERAjaan BN. Wahai YB, turunlah melihat masalah rakyat. Kepada Tok 4, aturkan gotong royong untuk bersama membaiki jalan yang rosak teruk. Kalau tidak mahu berkhidmat, beri aje jawatan tu kepada orang lain yang sanggup berkhidmat.

Lynas & Kesedaran Alam Sekitar


Kilang Lynas di Gebeng yang dibina untuk memproses bahan nadir bumi terus mendapat bantahan punduduk. Bermula dengan gerakan penerangan menerusi blog, kini memasuki fasa baru dengan demo di Kuantan dan KL. Pihak kerajaan BN Pahang yang membenarkan projek tersebut meminta rakyat menunggu keputusan panel bebas yang membuat penilaian. Saya melihat bantahan ini dari sudut kesedaran terhadap aspek keselamatan, kesihatan dan alam sekitar. Di bawah ini, saya paparkan sedikit penerangan tentang alam sekitar dan pencemaran sebagai panduan masyarakat umum.

1.0 Pendahuluan

Alam sekitar adalah amanah dan anugerah Allah kepada manusia. Ia harus dipelihara sebagai warisan generasi yang berpanjangan. Warisan ini begitu tinggi nilainya dalam kehidupan manusia. Walaupun tanggungjawab menjaga alam sekitar sangat penting, namun ianya seringkali diabaikan. Natijahnya, berlakulah pelbagai bentuk pencemaran alam sekeliling. Sekiranya tiada langkah-langkah kawalan dilakukan, kehidupan manusia di planet bumi akan terancam dengan bahan-bahan cemar yang berbahaya.

Pencemaran alam sekitar telah disedari oleh manusia semenjak sekian lama. Menurut Daniel Vallero yang menulis buku `Fundamentals of Air Pollution’, sejak tahun 61SM lagi, seorang ahli falsafah bernama Seneca telah membangkitkan masalah pencemaran asap dari cerobong dapur di bandar Rom. Di samping aktiviti manusia, pencemaran alam sekitar juga boleh berlaku sewaktu malapetaka. Misalnya, tragedi gempa bumi dan tsunami di Jepun pada 11 Mac 2011 telah menyebabkan loji nuklear di Fukushima terbakar dan seterusnya berlaku pencemaran bahan radioaktif yang serius.


2. 0 Makna Alam Sekitar

Sebelum membincangkan tentang konsep pencemaran alam sekitar, wajar difahami terlebih dahulu makna ungkapan `alam sekitar’. Secara umumnya, alam adalah segala makhluk ciptaan Ilahi yang ada di langit dan di bumi. Menurut Kamus Dewan, perkataan alam sekitar adalah merujuk kepada persekitaran fizikal, persekitaran kehidupan dan keadaan luaran yang mempengaruhi kehidupan manusia, haiwan dan tumbuhan. Dari sudut saintifik, alam sekitar merujuk kepada `alam tabii’ (nature) yang dikaitkan dengan dua unsur iaitu abiotik (benda bukan hidup) seperti angin, batu atau suhu; dan unsur biotik (benda hidup) seperti manusia, binatang serta tumbuhan.

Mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling, yang digubal di Malaysia pada tahun 1974, alam sekitar diertikan sebagai faktor-faktor fizikal di sekeliling manusia termasuklah tanah, air, udara, iklim, bau; faktor-faktor biologi bagi binatang dan tumbuhan; dan faktor-faktor sosial estetika iaitu bagaimana masyarakat berinteraksi dengan persekitaran gubahan manusia seperti kawasan perindustrian, kawasan petempatan, jaringan perhubungan dan sebagainya. Menurut Hamidi Ismail dalam bukunya `Pengurusan Alam Sekitar’, terdapat empat komponen utama alam sekitar iaitu atmosfera (unsur udara seperti oksigen, nitrogen, hidrogen); litosfera (unsur batuan, tanah tanih); biofera (hidupan seperti manusia, serangga, organisma); dan hidrosfera (komponen air seperti sungai, kolam, tasik).

Pakar alam sekitar tempatan, Prof. Datuk Dr. Zaini Ujang menyatakan bahawa alam sekitar mempunyai sifat-sifat yang seimbang, indah dan segar. Sifat seimbang ialah sentiasa harmoni dan saling berhubungan. Contohnya ialah keseimbangan penghasilan oksigen yang dikeluarkan oleh tumbuhan dengan penghasilan karbon dioksida yang dikeluarkan oleh manusia dan haiwan. Indah pula merupakan persekitaran semulajadi ciptaan Tuhan seperti gunung-ganang, sinar suria, air terjun dan sebagainya. Seterusnya, sifat alam sekitar yang segar digambarkan melalui warna-warna asli yang menyejukkan mata seperti keindahan panorama flora dan fauna.


3.0 Konsep Pencemaran Alam Sekitar

Pencemaran alam sekitar boleh didefinisikan sebagai kehadiran satu atau lebih bahan cemar atau gabungannya dalam kuantiti tertentu, pada sesuatu jangka waktu, yang boleh atau berkecenderungan menyebabkan mudarat kepada kehidupan manusia, haiwan, tumbuhan atau harta benda, atau mengganggu suasana kehidupan yang tenteram atau kelangsungan sesuatu kegiatan. Di samping itu, terdapat takrifan lain yang menyatakan bahawa pencemaran alam sekitar adalah pembuangan bahan-bahan hasil dari aktiviti manusia ke dalam persekitaran, yang menyebabkan terganggu keselesaan kehidupan.

Takrifan rasmi pencemaran di sisi undang-undang Malaysia, seperti yang termaktub di dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ialah sebarang pengubahan sama ada secara langsung atau tidak langsung terhadap sifat-sifat kimia, fizik atau biologi persekitaran menerusi pelepasan atau pembuangan bahan-bahan berbahaya, bahan cemar atau sisa buangan, yang memberikan kesan yang tidak baik terhadap kesihatan, keselamatan dan kebajikan orang ramai, binatang atau tumbuhan; atau perlanggaran terhadap mana-mana terma atau tahap bahan cemar yang ditetapkan oleh undang-undang.

Berdasarkan takrifan di atas, konsep pencemaran adalah bergantung atau berpandukan kepada suatu nilai atau pengukuran yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, kenderaan menjana tenaga daripada pembakaran minyak petrol atau diesel di dalam enjin. Kesan daripada pembakaran tersebut akan menghasilkan pelepasan asap yang mengandungi gas-gas yang berbahaya seperti karbon monoksida. Namun, pencemaran udara yang disebabkan oleh pelepasan asap kenderaan hanya terjadi sekiranya gas-gas yang dilepaskan daripada ekszos adalah melebihi limit yang ditetapkan atau secara mudahnya, pelepasan asap yang berwarna hitam. Begitu juga dengan pelepasan air buangan industri. Antara parameter dan had yang ditetapkan ialah kandungan pepejal terampai 50 mg/liter dan nilai pH dalam julat 6.0 – 9.0.

Allah SWT telah menciptakan alam ini dengan sebaik-baik kejadian. Secara fitrahnya, memang terdapat pelepasan bahan cemar seperti habuk ke udara. Di samping itu, terdapat sisa buangan daripada lebihan makanan atau sampah yang berpunca dari daun-daun tua yang gugur. Namun, pencemaran tersebut boleh dineutralkan menerusi keseimbangan sistem alam sekitar. Misalnya, dengan berlakunya hujan, habuk-habuk yang berterbangan di udara akan gugur ke bumi dan menjadikan udara kembali bersih. Begitu juga dengan sisa buangan yang boleh diurai oleh organisma kecil dan menjadi baja kepada pelbagai jenis pokok. Namun, kerakusan manusia mengejar keuntungan dan kemewahan hidup, telah melepaskan bahan-bahan pencemar secara berlebihan dan melebihi daya tampung alam sekitar. Maka berlakulah pencemaran alam yang serius, terutama mutakhir ini.

Pencemaran alam sekitar boleh dibahagikan kepada beberapa jenis seperti pencemaran udara, pencemaran air, pencemaran tanah-tanih, pencemaran hingar (bunyi bising), bau dan sebagainya. Pencemaran tersebut akan membawa kepada banyak kesan buruk seperti berlakunya jerebu, hujan asid, wabak penyakit, peningkatan suhu bumi, kualiti air terjejas dan kehidupan samada ada daratan atau akuatik akan terancam. Dalam kes jerebu misalnya, ia berpunca daripada pembakaran terbuka di semasa pembukaan tanah ladang atau sewaktu penanaman semula. Pelepasan asap dan habuk ke udara secara melampau menyebabkan berlakunya jerebu dan ia diukur berdasarkan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

Pemuda Mengisi Kemenangan


Saya gembira mengikuti proses pemilihan kepimpinan parti yang berjalan lancar. Ahli PAS yang telah mendapat tarbiah begitu memahami bahawa jawatan adalah satu amanah, dan bukan kebanggaan. Namun,terdapat pelbagai scenario yang sering mewarnai pemilihan kepimpinan. Ada yang mengatakan `hanya menawarkan diri'. Ada juga yang tidak mahu dilantik jawatan dalam parti. Sehingga, terdapat sahabat yang terpaksa memegang extra jawatan.

Teringat saya saat kemenangan PAS di Terengganu dan berjaya memerintah negeri. Tiba-tiba muncul ramai `tokoh' yang mendakwa pendokong perjuangan. Sebelum ini tak nampak kelibat mereka. Mereka `tawarkan diri' memegang jawatan parti dan seterusnya cuba untuk mendapat tempat dalam beberapa `kekosongan' dari serendah-rendah `jawatankuasa syura rakyat' (JSR) di peringkat kampung, hingga ke peringkat negeri. Iktibarnya, pentarbiyahan perlu berterusan. Kemilau kebendaan bisa mengubah haluan. Tragedi di Uhud, ketika pejuang melihat timbunan harta rampasan, perlu sentiasa dalam ingatan.

Kini, sudah setahun saya bertugas di Kedah, di sebuah negeri yang MBnya daripada PAS. Dalam kesempatan lain, saya ingin berkongsi warna-warni pemerintahan PR. Walaupun saya hanya menumpang tuah `Kedah Sejahtera', banyak yang saya belajar. Semasa menjalankan tugas, saya berkesempatan mengunjungi banyak kementerian dan agensi kerajaan Persekutuan. Depa semacam tak mengiktiraf YAB DS Ustaz Azizan. Saya baru sahaja balik dari MIDA. Di lobi pejabat mereka, tergantung gambar pemimpin negara, tapi tak sudi meletak gambar MB.

Program rasmi pertama yang saya hadir melibatkan YB PAS ialah Kulim Industrial Tennants Association (KITA) Annual Gathering pada 20 Oktober 2010. VIP yang hadir memberikan ucapan ialah YB Dato' Ir. Hj. Amiruddin Hamzah. Saya puji melihat kemampuan beliau berucap dan bermesra dengan tokoh-tokoh industri di Kulim. Sebelum naik ke pentas, beliau sempat bersalam dengan saya dan tetamu yang lain. Waktu itu isu panas ialah kenaikan tarif air oleh SADA (Syarikat Air Darul Aman). Beliau dilihat mampu mengawal suasana.

Pada 27 November 2010, kami menghadiri `Sedim River Cleaning Program'. Seorang pemuda yang baru dilantik sebagai penghulu mukim telah memberikan ucapan aluan mewakili penduduk Kg. Sedim. Saya yakin dia dilantik selepas PR memerintah Kedah. Ucapan dan perwatakan beliau adalah menarik dan menepati kehendak majlis. Apa yang ingin saya sampaikan ialah Allah menjanjikan kemenangan kepada Islam. Justeru, para Pemuda perlu bersedia kerana mengisi sebuah kemenangan adalah amanah yang berat.

Selamat Hari Guru


Pada 14 Mei 2011, saya bertemu dengan Cikgu Zaidan di Pasar Minggu Kuala Lipis. Hangat genggaman tangan beliau sewaktu kami bersalaman. Antara soalan cepu emas yang beliau tanya ialah `bila nak kembali bekerja di Lipis?'. Katanya, blog tidak lagi berseri. Tak sangka Cikgu Zaidan turut menekuni blog PAS Lipis. Selepas kembali ke Kulim, saya luangkan sedikit masa menziarahi blog Pemuda PAS Lipis. Posting saya yang terakhir ialah pada tahun 2009, sewaktu mula menyambung pelajaran ke Bangi. Ya, begitu cepat masa berlalu...

Semalam, 16 Mei adalah Hari Guru. Hari ini, mengikut zaujah saya, ada majlis sambutan hari guru Pasti di Kerdau. Bersama anak bongsu kami, dua orang Cikgu Zila dari Pasti Padang Tengku bertolak ke sana seawal jam 6.30 pagi. Satu perjalanan yang jauh dan terpaksa turun-naik jalan yang beralun serta berliku. Namun, komitmen guru-guru Pasti terhadap aktiviti parti sentiasa berada pada tahap yang tinggi. Menurut zaujah, semua guru diminta membawa satu `buah tangan' untuk ditukar dengan guru-guru lain di majlis tersebut. Semasa balik dari UKM pada minggu lepas, saya singgah di Raub untuk membeli beberapa pilihan hadiah.

Selamat hari guru kepada para pensyarah, ustazah, ustaz dan semua cikgu. Terima kasih kerana mendidik kami semua. Kepada Pemuda PAS Lipis, tahniah kerana berjaya mengendalikan beberapa buah Pasti. Tahun hadapan, harap dapat gantung banner `selamat hari guru'. Akhbar-akhbar online sebelah depa banyak menyiarkan berita tentang sambutan hari guru, tapi sebelah kita terasa sepi. Kenapa ye?

Hujan lebat secara berterusan



KUALA LIPIS - Hujan lebat berterusan bermula dari malam kelmarin hingga awal pagi semalam mengakibatkan beberapa kawasan di sekitar bandar Lipis ditimpa bencana tanah runtuh dan pokok tumbang. 

Tinjauan Sinar Harian ke beberapa tempat yang dilanda hujan lebat semalam mendapati batang pokok dan tiang telefon Telekom Malaysia (TM) merentangi jalan menyebabkan penduduk tidak dapat melalui laluan terbabit. 



Berpuluh-puluh pekerja terkandas 



Di Jalan Bukit Residen, berpuluh-puluh kakitangan Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), pekerja Rumah Rehat Bukit Residen dan pengunjung Bukit Residen tidak dapat melalui laluan tersebut berikutan beberapa batang pokok tumbang serta menutup jalan terbabit. 

Pekerja dan pengunjung terbabit terpaksa menunggu beberapa jam sehingga kerja pembersihan laluan yang giat dijalankan oleh kakitangan Majlis Daerah Lipis (MDL) selesai. 

Selain itu, berlaku runtuhan tanah berdekatan dengan pejabat Risda dan pengguna yang melalui kawasan terbabit diminta berhati-hati bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku. 

Di laluan yang sama, tempat duduk dan pagar sekitar Tasik Residen runtuh serta turut mengalami kerosakan teruk akibat kejadian terbabit. 

Hasil tinjauan mendapati, rekahan teruk berlaku pada tempat duduk yang dibina daripada simen terbabit dan lebih memburukkan keadaan apabila batang pokok turut menimpa kawasan terbabit. 



Penduduk berhadapan dengan bahaya 



Sementara itu, beberapa buah rumah di kawasan perumahan Bukit Kerani yang dibina berhadapan pam minyak Esso turut berisiko apabila tanah runtuh dan pokok tumbang berlaku berhampiran rumah mereka. 

Tanah runtuh itu berlaku di sekitar Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) lama yang kini didiami oleh beberapa keluarga dan hakisan tanah berlaku beberapa meter sahaja dari kediaman penduduk. 

Selain itu, di kawasan yang sama beberapa keluarga turut terkandas dan tidak dapat keluar dari kediaman mereka apabila pokok dan tiang telefon TM tumbang dan merentangi jalan. 

Beberapa kawasan lain seperti Jalan Pekeliling berhadapan dengan Kem Batalion Kelapan Rejimen Askar Melayu Diraja (8 RAMD), Jalan Datuk Mahmud berhampiran simpang masuk ke Taman Desa Perwira, jalan pintas ke Institut Pertanian (IP) dan kawasan Flat Sungai Kerpan 2 turut terjejas akibat kejadian tanah runtuh serta pokok tumbang. 



Rumah dimasuki air 



Di TempoYANG :pula beberapa rumah turut dimasuki air mengakibatkan penduduk di kawasan terbabit terpaksa berpindah ke kawasan yang lebih tinggi. 

Salah seorang penduduk, Halimah Bidin, 63, berkata, dia menyedari kejadian terbabit berlaku apabila dikejutkan oleh jiran berhampiran sekitar jam 3.45 pagi. 

“Setelah sedar dari tidur, saya bersama suami, Abdul Aziz Ismail,70, meninjau keadaan rumah dan mendapati air sudah memasuki kawasan dapur rumah kami. 

“Kami bertindak pantas mengalihkan barangan elektrik dan dokumen penting ke tempat yang lebih tinggi. Setelah itu, kami bertindak meredah air banjir untuk ke rumah sebelah yang dibina lebih tinggi sekali gus mengelakkan kejadian buruk berlaku,” katanya kepada Sinar Harian. 

Halimah berkata, kawasan rumahnya dibina berhampiran dengan Sungai Tempoyang ditambah dengan keadaan hujan lebat secara berterusan selama beberapa jam menyebabkan aras air meningkat dengan lebih cepat. 

Selain itu, Markas Pas Tempoyang turut terjejas dengan banjir dan sebahagian daripada peralatan di dalam markas terbabit mengalami kerosakan serta kotoran akibat terkena lumpur. 

Setiausaha Pas Kawasan Lipis, Muttalohiri Ludin berkata, banjir kali ini adalah kejadian kelima melanda markas terbabit sepanjang 2011 dan paling teruk dialami oleh mereka. 

“Kejadian ini disedari oleh salah seorang ahli Pas, Hasbullah Ludin yang datang ke markas ini sekitar jam 7 pagi dan mendapati limpahan air dari sungai berdekatan memasuki markas ini. 

“Hasbullah kemudiannya bertindak memanggil ahli Pas lain yang tinggal sekitar kawasan ini bagi melakukan kerja gotong royong bagi membersihkan lumpur yang masuk ke dalam markas,” katanya. 



Usaha baik pulih jangka masa pendek, panjang 



Sementara itu, Setiausaha MDL, Mohd Pauzi Abu Hussaini berkata, pihaknya bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), TNB dan pekerja kontrak bagi pembinaan Hospital Lipis bekerjasama bagi menjalankan kerja pembersihan. 

Menurutnya, bagi tindakan jangka masa pendek, pihaknya melakukan kerja pembersihan di kawasan yang mengalami masalah pokok tumbang selain turut meletakkan plastik di kawasan tanah runtuh. 

“Setelah menerima aduan daripada orang ramai, pihak kami bertindak pantas mengalihkan pokok tumbang di kawasan yang dikenal pasti menggunakan jentolak. 

“Kami juga meletakkan plastik pada permukaan tanah runtuh bagi mengelakkan keadaan bertambah teruk,” katanya. 

Mohd Pauzi berkata, bagi tempoh jangka masa panjang, pihaknya menyediakan laporan lengkap berserta gambar kejadian untuk dihantar ke pihak penguasa negeri bagi memohon peruntukan membaik pulih kawasan yang terjejas. 

“Antara kawasan teruk yang dilanda tanah runtuh adalah di Jalan Bukit Residen di mana tempat duduk di Tasik Residen terbabit terjejas teruk dan anggaran kerugian mencecah RM200,000,” katanya. 

Menurutnya, kerja baik pulih kawasan Tasik Bukit Residen terbabit dianggarkan mencecah RM500,000 selain turut mengambil kira kerja membaik pulih tanah runtuh di atas bukit kawasan terbabit. 

“Sekiranya peruntukan diluluskan, pihak kami mencadangkan supaya dibina dinding penahan di tersebut bagi menghalang kejadian sama berulang. 

”Kos keseluruhan bagi membaik pulih kawasan yang dilanda bencana terbabit mencecah lebih RM1 juta dan pihak kami akan menyediakan laporan ini dengan kadar segera,” katanya.