S/U PAS Lipis Meninggal Dunia

Setiausaha PAS Kawasan Parlimen Lipis, Allahyarham Hj. Abu Hassan Hj Mohamed, 57, telah kembali ke rahmatullah pada malam tadi (17 Jun 2009). Mengikut maklumat yang diterima, beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Daerah Lipis selepas mengadu sakit dada. Al-fatihah.

Beliau dilahirkan pada 8 Julai 1952 dan kembali menetap di Kg. Relong, Kuala Lipis selepas bersara dari RTM pada tahun 2004. Allahyarham kemudiannya menjalankan perniagaan sendiri sebagai agen takaful (Agensi Ar-Rawa) di bangunan MARA, bersebelahan stesen keretapi Kuala Lipis.

Antara program parti terakhir bersama beliau ialah menghadiri Mesyuarat PAS Kawasan Parlimen Lipis pada 13 Jun 2009. Terdahulu, kami bersama beliau menjalankan usrah di Kg. Tain/Petola, Kuala Lipis. Semasa sesi taaruf, Allahyarham memakmumkan bahawa beliau mempunyai 4 orang cahaya mata.

Pada waktu Zohor semalam, beliau menunaikan solat berjamaah di Madrasatul Firdaus (Masjid Lama Kuala Lipis). Beliau kelihatan sihat dan memaklumkan kepada saya untuk menguruskan kebenaran polis (permit) bagi ceramah Naib Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man di Kg. Telok Gunung pada hari ini (18 Jun 2009).

Saya sempat hadir ke pejabat beliau di bangunan MARA. Beliau mahu memberikan perisian jawi tetapi saya tidak membawa Pendrive. Beliau menunjukkan kepada saya slogan `Islam Memimpin Perubahan’ yang telah ditaip dengan menggunakan tulisan jawi. Tiada tanda-tanda bahawa beliau akan meninggalkan kami.

Selepas solat Isyak, kami dikejutkan dengan deringan telefon dan SMS dari ahli keluarga beliau dan para sahabat seperjuangan, yang memaklumkan bahawa beliau baru sahaja dijemput mengadap ke hadrat Ilahi. Inna lillahi Wa Inna Ilaihi Rajiuun. Kami bersegera ke hospital. Dalam perjalanan, seorang sahabat memaklumkan bahawa jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke rumahnya di Kg. Relong.

Bersama sanak-saudara, para penduduk dan hadirin-hadirat, majlis bacaan Yaasin dan tahlil telah disempurnakan di rumah beliau pada malam tadi. Saya sempat melihat wajahnya yang tenang. Semoga Allah SWT menempatkan rohnya bersama para syuhada’ dan golongan solihin. Amim ! Ya Rabbal ‘Alamin

0 comments: