Berdakwah dengan fakta sejarah


Surah al-Fatihah (Pembukaan) sangat dekat dengan kita. Tiada solat tanpa surah ini. Namun, ada banyak yang belum diambil faham tentang ayat-ayat dalam surah al-Fatihah. Dalam satu majlis di Taman Melewar, Tok Guru Nik Abdul Aziz melontarkan suatu pandangan yang tidak pernah saya terfikir. Menurut beliau, peri pentingnya sejarah telah dirakamkan oleh Allah SWT di dalam surah ini.

Dibaca dan diterjemahkan ayat 6 & 7: "Tunjukilah kami jalan yang lurus. (Iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat". Tok Guru menjelaskan bahawa berdasarkan sejarah manusia terdahulu, terdapat mereka yang dianugerahkan nikmat dan ada pula yang telah sesat dan dimurkai Allah. Maka, sebagai generasi kini, ambilah iktibar daripada sejarah. Dalam ayat-ayat yang lain, Allah SWT meminta kita berjalan di muka bumi dan mengambil pengajaran dari kisah-kisah nenek moyang yang bermula sejak era Adam dan Hawa.

Bandar Lipis diiktiraf sebagai bandar bersejarah. MDL kini sedang giat mengumpulkan maklumat mengenai 14 bangunan bersejarah di bandar ini. Fokus mereka lebih kepada pemuliharaan bangunan untuk tujuan perlancongan. Dalam konteks dakwah, fakta-fakta sejarah boleh digunakan dalam menarik minat audien. Bangunan-bangunan yang tersergam seperti Rumah Rehat Bukit Residen dan Kompleks Pejabat Kerajaan di Lipis bukanlah sekadar tinggalan British ketika melombong bijih. Mereka sebenarnya datang dengan misi 3G (god, gold & glory). Penjajah sebenarnya telah membawa ajaran kristien ke bumi bertuah seperti Lipis. Hatta kini, bilangan gereja di bandar ini melebihi jumlah masjid.

Walaupun ada juga pendapat bahawa penentangan Orang Kaya Haji terdapat Inggeris akibat kehilangan kuasa memungut cukai tetapi dari sudut yang lain, bersama alim ulama', umat Islam di Tanah Melayu bangkit berjihad melawan musuh. Ini kerana para tok guru faham bahawa penjajahan wilayah adalah haram (disepakati oleh semua mazhab).
Dalam kesempatan ini, saya sekadar memberikan beberapa contoh. Kesimpulannya, fakta dan catatan sejarah di tanah kelahiran kita perlu diketahui. Ia boleh dimanfaatkan untuk tujuan berdakwah.

0 comments: