Membelah Isu Politik Dari Jiwa Tarbawi!



Ramai orang menulis, mengulas, mengkritik, menyumpah, membebel, menegur, memuji dan lain-lainnya dalam dunia maya berhubung ISU MUZAKARAH UMNO-PAS yang hangat diperkatakan sekarang. Tidak kurang juga yang meng ‘sms’ dan bertanya secara langsung kepada saya berhubung isu tersebut. Mana perlu saya sokong, Tok Guru Hj Hadi ker Tok Guru Nik Aziz? Mengapa banyak pertentangan kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan ni?

Sebenarnya, saya bukan pakar dalam selok belok pendekatan politik dan bukan ’ahli’nya walaupun saya ahli berdaftar kepada parti politik yang diberi nama PAS ini. Namun saya ingin memberi pandangan dari sisi saya secara peribadi yang diamanahkan sebagai orang tarbiyah ini :

1. Dalam realiti dunia politik Malaysia hari ini, anda jangan terlalu cepat percaya dan membuat kesimpulan semata-mata berdasarkan maklumat yang disebarkan oleh orang media, khususnya media pro UMNO/BN atau media anti Islam/ PAS. Berita yang disebarkan mesti diselidik terlebih dahulu. Jangan terpedaya dengan laporan berita walaupun menayangkan potongan ucapan pimpinan kita.

2. Dalam menunaikan kewajipan amar makruf nahi mungkar atau mengkritik pemimpin haruslah berdasarkan maklumat yang pasti dan jelas, bukan spekulasi atau maklumat yang tidak jelas. Benarkan pemimpin tersebut berjumpa? kalau betul, untuk apa? apa agendanya? keputusan siapa? apa helahnya? dan kita haruslah sedar bahawa setengah dari tindakan politik pimpinan itu ada yang perlu dirahsiakan untuk maslahah tertentu dan thiqah atau kepercayaan kita kepadanyalah yang menjadi cagaran dalam keputusan tersebut. Bukan semua tindakan perlu untuk menunggu muktamar tahunan kerana sesetengahnya perlu disegerakan. Apabila belum tepat dan belum pasti maklumat yang dimiliki, maka husnuz-zon atau bersangka baik adalah akhlak seorang tentera Islam.

3. Bersedia menerima kesilapan yang dilakukan oleh pemimpin dalam masalah strategi atau pendekatan. Strategik dan pendekatan dalam politik kebanyakkannya adalah bersifat eksperimen. Ia akan sentiasa terdedah kepada perubahan demi perubahan. Pakatan Rakyat yang dibina sekarang pun masih dalam ekserimen. Kalau terbukti baik untuk Islam, maka mungkin diteruskan, kalau tidak? Kita hanya akan tahu sesuatu tindakan politik itu tidak tepat apabila kita telah melaluinya. Anwar Ibrahim pernah tersalah dalam pendekatan politiknya dahulu apabila bergerak di dalam UMNO. PAS pernah berpengalaman berkerjasama dengan Perikatan (BN-UMNO). Segala-galanya adalah percubaan atau eksperimen. Jika baik untuk Islam, baiklah.. jika tidak, tidaklah. Kemungkinan TG Haji Abd Hadi tersilap membuat pengumuman tidak tepat pada masanya.. kemungkinan juga TG Nik Abd Aziz tidak tahu perjumpaan tersebut disebabkan kesibukkannya sebagai Menteri Besar dan memberi tumpuan keutamaan di Kelantan. Saya tidak pasti.. itu semua kemungkinan. Tapi, kita sepatutnya menerima kemungkinan-kemungkinan itu.

4. Kalau orang awam yang bercelaru dalam isu ini, itu perkara biasa. Namun, kalau ahli yang ditarbiyah juga bercelaru, ini suatu perkara yang menyedihkan. Ahli yang ditarbiyah mereka sepatutnya tidak cepat melatah, mendahului bersangka baik terhadap kepimpinan, tidak cepat melatah dan mempercayai berita negatif tentang parti / jamaah, menumpukan kepada fokus kerja sebenar di peringkat masing-masing. Ahli yang ditarbiyah sepatutnya menenang dan menyebarkan khabar yang positif tentang pimpinan walau siapa pun dia kepada ahli di peringkat bawahan.

5. Perbezaan kenyataan kepimpinan kadang-kadang hasil manipulasi media, kadang-kadang kerana maklumat yang dimiliki berbeza dan sebagainya. Sikap kita adalah menerima perbezaan itu selagi dalam soal pendekatan. Inilah ruh kebebasan dan kemerdekaan minda dan jiwa yang dimiliki oleh pimpinan PAS dan ahlinya, berbeza dengan UMNO –BN yang mengongkong ahli dan anggota pakatan barisan mereka dari perbezaan pandangan. Inilah dia dinamik dan uniknya PAS andai mereka memahami..

6. Alhamdulillah, saya tidak pernah terganggu oleh isu seperti ini. Dahulu isu perbezaan sikap antara TG Nik Abd Aziz dengan TG Hj Harun Taib dalam masalah konsert Mawi di Kelantan..saya tiada masalah. Kemudian sekarang perbezaan sikap kepimpinan dalam isu muzakarah UMNO-PAS... juga saya tiada masalah.. tips-tips di atas adalah pegangan saya.. Alhamdulillah!

Maaf, kerana saya bukan pakar politik, walaupun politik sebahagian dari perjuangan saya...! AYUH PERKEMASKAN TARBIYAH!
* petikan dari blog Abu Amirah As-Salimbari

1 comments:

Redzwan Abdullah said...

salam alaik...

Perbezaan pendapat adalah satu rahmat sebenarnya selagi tidak membawa perpecahan... Saya sokong pendapat saudara...