Akan terpinggirkah belia Malaysia ?

Saya ingin berkongsi satu artikel yang tersiar di akhbar Malaysian Today (July 9-15, 2009). Ia berjudul "Dire Straits: Will Malaysian Youths be outclassed ?", tulisan Alvin Chia, pada muka surat 12. Artikel ini ada berkaitan dengan saranan Nabi kita supaya memiliki generasi muslim yang ramai. Di Malaysia, walaupun pernah dilancarkan kempen merancang keluarga, namun di akhir pemerintahan Tun M, beliau mahu negara ini memiliki 70 juta orang penduduk.

Tulisan Alvin Chia ini mengajak kita berfikir tentang masa depan dan persaingan hidup yang kian sengit. Sebagai muslim, kita yakin dengan rezeki yang Allah akan berikan kepada semua makhluk. Kita juga beriman dengan ketentuan qada' dan qadar. Yang ingin diajak berfikir ialah perlunya rakyat Malaysia bersedia dan berdiri di atas kaki sendiri. Ini kerana kek ekonomi akan direbut oleh lebih ramai manusia. Para pelabur dan peneraju industri pula lebih berminat untuk berniaga di tempat yang murah kos buruh dan tinggi keuntungannya.

Penulis artikel tersebut memberitahu bahawa India kini memiliki penduduk seramai 1.2 bilion orang dan golongan belia seramai 225 juta orang. China memiliki penduduk seramai 1.4 bilion dan belia seramai 221 juta orang. Indonesia memiliki 42 juta belia, Vietnam seramai 18 juta belia, Thailand seramai 9 juta dan Malaysia memiliki 5 juta orang belia.

Di sini, saya ingin berkongsi beberapa pengalaman kerja. Syarikat gergasi Korea Selatan iaitu Samsung pada akhir tahun 1990-an mahu menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi di rantau asia pasifik. Mereka mahu mendirikan kilang CPT (TV/PC) terbesar di Seremban. Namun, selepas tahun 2000, Samsung telah mengubah keputusan dan mereka kini membuka kilang besar di China dan India kerana kos buruh yang rendah. Ramai pekerja Samsung di Seremban ditawarkan VSS.

Begitu juga dengan industri berasaskan kayu. Saya pernah bekerja dengan kilang papan serpai yang terbesar di rantau ini. Namun, akibat kegawatan ekonomi, kilang terpaksa ditutup. Namun, kilang papan serpai di Thailand boleh bertahan dan memberikan peluang pekerjaan kepada orang Siam termasuk beberapa tenaga mahir negara ini yang berhijrah ke sana.

Malaysia adalah kaya dengan hasil bumi. Dalam menghadapi persaingan masa depan, kerajaan dan syarikat tempatan perlu merangka pelan strategik bagi menyediakan peluang niaga dan kerja kepada penduduk. Amat malang jika hasil bumi yang berada di perairan kita (gas/minyak mentah), disalurkan ke negara jiran semata-mata kerana dendam politik kerajaan sekarang..

0 comments: